BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, November 23, 2009

Tip-tip menjelang musim peperiksaan
“Demi masa,sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” ( surah Al-Asr: 1-3)
Masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak mencatasnya, ia pula akan memotong kita. Masa ibarat senjata tajam yang bernilai apabila dimanfaatkan dengan sebaiknya, tetapi sebaliknya akan berlaku sekiranya masa dibazirkan begitu sahaja. Menurut teori as-Syahid Imam Hasan Al-Banna, masa merupakan kehidupan. Sesiapa yang mengisikan masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, maka dia telah membuang kehidupannya. Hidupnya seperti tiada erti dan nilai. Masa kian suntuk. Peperiksaan semakin hampir. Bagaimana kita hendak menghadapinya? Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk kita mencuba melakukan yang terbaik dalam peperiksaan adalah dengan menggunakan masa yang singkat itu untuk melakukan ulang kaji pantas. Berikut adalah langkah-langkahnya:
1. Semak bahagian yang sukar. Fahami dan kuasai topik tersebut. Buat latihan yang berkaitan dengan subjek tersebut dan semak jawapannya. Lihat dan fahami rangka jawapan yang diberi
2. Bagi topik yang mudah, bukanlah perlulah diabaikan. Tetapi, buat banyak latihan dengan pantas. Ini dapat menambahkan keyakinan pada hari peperiksaan itu nanti
3. Ulang kaji kembali nota-nota ringkas yang dibuat sebelum ini. Jangan baca nota yang panjang lebar. Ini dapat mengelakkan perasaan panik apabila melihat isi kandungan yang banyak yang perlu dibaca
4. Jangan terlalu bimbang atau resah. Teruskan mengulangkaji dengan kaedah yang betul. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang masih lagi ada itu, haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyiapkan diri dari segi fizikal,emosi, mental dan rohani. Persiapan fizikal termasuklah dengan mengambil makanan yang seimbang dan mengikut waktu makan yang betul. Hal ini dapat menjaga kesihatan dan turut memberi tenaga dan stamina kepada badan untuk terus mengulangkaji pelajaran.
Aktiviti-aktiviti riadah juga tidak patut diabaikan. Dari segi mental pula, fikirkan yang positif dan yakin pada diri. Percaya bahawa kita telah berusaha dan kita yakin untuk menghadapinya. Fokuskan diri pada apa yang diinginkan dan buang perasaan risau dan resah. Elakkan daripada memikirkan perkara negatif yang dapat terjadi. Emosi turut juga terganggu apabila menjelang peperiksaan. Maka emosi kita turut juga perlu disiap sediakan untuk bertempur di medan peperiksaan nanti. Kawallah emosi dan cuba elakkan daripada melibatkan diri dengan konflik-konflik yang dapat menjejaskan “mood” belajar kita. Muhasabahlah diri selalu dan fikirkan setiap kejadian ada hikmahnya. Dekatkan diri kepada-Nya dengan amalan-amalan solat-solat sunat, dan membaca Al-Quran.
Sesunggunhnya Allah mengatakan hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang. Dari segi rohani adalah dengan memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka berhubunglah dengan-Nya dan panjatkanlah doa kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlas hati dan serendah-rendah diri ini sebagai hambanya. Berdoalah agar dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Seelok-eloknya, sebelum mula ulangkaji, maka lakukanlah ibadat solat taubat dan hajat, pinta moga mudah memahami dan mengingati pelajaran tersebut. Selain itu, pohonlah restu dari ibubapa dan guru. Jangan melukai hati mereka.
Percayalah wahai pejuang di medan pertempuran peperiksaan, kerja yang dilakukan hari ini akan menyelamatkan kita hari esok. Tiada yang dilakukan di dunia ini sia-sia kecuali perkara yang sia-sia itu sendiri. Maka gunalah masa yang suntuk ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang penuntut ilmu yang cekal hatinya, yang teguh pendirian dan azamnya, yang tidak mudah dipatahkan dengan cabaran yang menimpa.
Jadilah seoarng penuntut ilmu yang patuh dan tunduk kepada Yang Maha Pencipta, yang mempercayai dengan sebulat keyakinan akan kekuasaan Azza Wa Jalla yang menentukan segala-galanya. Usahlah resah dan gelisah, tetapi bangkitlah, wahai mujahidin, mujahidah. Janganlah gentar dalam berjihad menuntut ilmu dalam mencari keredhaan-Nya. Study itu jihad. Selamat berjaya dalam peperiksaan.

0 comments: